Friday, August 21, 2009

Sejarah Sekolah
Sk. St.Francis yang pada mulanya bernama St. Mary's School dimulakan pada tahun 1872 di Praya Lane. Pengasasnya ialah seorang padri, Father Maximillian de Souza. Yuran sekolah ketika itu hanya 3 sen sebulan.
Sekolah ini berpindah ke sebuah bangunan di hadapan Gereja St. Francis di Jalan Laksamana (Riverside) pada tahun 1880. Pentadbiran dan pengurusan sekolah pada masa itu diambil alih oleh Father Delouette, seorang padri Perancis. Beliau telah menukarkan nama St. Mary's School kepada St. Francis School.
Oleh kerana pencapaian akademik yang tidak memuaskan, dan kekurangan tenaga guru, bantuan kerajaan dihentikan dan sekolah terpaksa ditutup sementara selama 2 bulan. Dalam bulan Oktober 1902, Mubaligh De La Salle bersetuju menguruskan sekolah itu semula. Pendaftaran berjaya menarik 102 orang murid. Bilangan ini meningkat dari masa ke semasa sehingga melebihi 500 orang termasuk kelas-kelas menengah.
Pada tahun 1951, bilangan murid telah melebihi 1000 orang. Oleh yang demikian, sebuah bangunan baru,khasnya untuk sekolah rendah didirikan di Jalan Chan Koon Cheng. Tahun 1954 merupakan tahun yang bersejarah bagi St. Francis School kerana pakaian seragam sekolah yang berwarna hijau dan putih diperkenalkan dan dikuatkuasakan untuk semua murid sekolah.
Pada tahun 1959 pula, sekolah ini secara rasmi telah dibahagikan kepada sekolah rendah dan sekolah menengah. Sekolah rendah dikenali sebagai Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) St. Francis dengan mendapat bantuan penuh kerajaan. Kemudian,sekolah ini dinamakan Sekolah Rendah Kebangsaan St. Francis mengikut perubahan dalam Dasar Pendidikan.
Persatuan Murid Tua : Sejarah dan Aktiviti
Persatuan Murid Tua St. Francis atau lebih dikenali sebagai St.Francis' Association (S.F.A.) telah ditubuhkan pada 17 Mac 1917. Objektif utama penubuhan persatuan ini adalah untuk menyediakan tempat bagi bekas pelajar St.Francis (Franciscans) untuk bertemu disamping berkongsi pengalaman dan pengetahuan.
Bilik perjumpaan pertama untuk bekas pelajar ialah di dalam sebarang bilik darjah. Pada masa itu, persatuan ini seakan-akan orang nomad kerana setiap mesyuarat diadakan di dalam bilik darjah yang berlainan. Akan tetapi keadaannya telah berubah setelah sebuah bangunan S.F.A. dibina bersebelahan dengan Sk.St.Francis. Pengerusi pertamanya ialah Seow Eng Ghi.
Pada awal penubuhannya ia mengutamakan aktiviti sukan seperti bola sepak dan ping pong. Setelah persatuan berkembang pesat maka aktivitinya dipelbagaikan iaitu memperkembangkan pengetahuan dan minda
Pengasas Sekolah
Encik John Chok Chin Yong berkhidmat di Sekolah Menengah St. Francis dan Sekolah Rendah Kebangsaan St.Francis dari tahun 1947-1980. Beliau boleh dianggap sebagai salah seorang guru yang paling lama berkhidmat di sesebuah sekolah.
Beliau dilahirkan pada 31 Julai 1925 di Melaka. Bapa beliau ialah seorang peniaga getah yang meningal dunia ketika Encik Chok masih seorang kanak-kanak lagi. Emak beliau bekerja sebagai seorang gaji untuk menampung saraan hidup beliau, dua orang abang dan seorang adik perempuan.
Beliau memulakan pendidikan awalnya di SRJK (C) Ping Ming dan kemudian melanjutkan pelajarannya di Sekolah Menengah St. Francis. Semasa beliau dalam Tingkatan Lima, beliau bekerja sementara waktu sebagai seorang pelayan di sebuah kedai kopi dan mendapat RM36 sebulan untuk membiayai yuran sekolahnya. Selepas lulus Senior Cambridge, beliau menjadi seorang guru terlatih biasa dan mula mengajar pada tahun 1947 di SFI.
Apabila SFI dibahagikan secara rasmi kepada sekolah rendah dan sekolah menengah pada tahun 1959,Encik Chok dilantik menjadi Guru Penolong Kanan di sekolah rendah dan kemudian menjadi Guru Besar pada tahun 1960 sehingga beliau bersara pada 30 Julai 1980.
Pada tahun 1971 bangunan dua tingkat di Jalan Chan Koon Cheng secara rasmi dijadikan Sekolah Rendah Kebangsaan St.Francis. Sepanjang khidmat beliau sebagai Guru Besar sekolah ini begitu lama, beliau disanjungi dan dikasihi oleh ramai "Franciscans". Hari ini, Encik Chok masih melawat Sekolah Kebangsaan St. Francis sekali- sekala untuk meninjau keadaan sekolah yang dicintainya.